Saturday, January 30, 2010

Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran (Learning Disablity)

PENGENALAN

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.


 
DEFINISI

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami halangan psikologikal atau neurologikal terhadap gerak balas bahasa, samada tulisan, perpsepsi kognitif atau aktiviti psikomotor. (sumber diolah daripada Buku Perkembangan Kanak-Kanak yang ditulis oleh Mok Soon Sang)




JENIS-JENIS MASALAH PEMBELAJARAN

Disleksia

Disleksia merupakan sejenis masalah yang paling kerap berlaku dikalangan kanak-kanak. Kanak-kanak disleksia menghadapi masalah dalam menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh. Sebenarnya kanak-kanak ini mempunyai tahap keupayaan intelek yang normal. Tetapi disebabkan factor-faktor tertentu mereka tidak dapat menguasai pembelajaran. Masalah utama yang menyebabkan berlakunya disleksia ialah perbezaan cara otak berfungsi terutama dalam menghubungkan symbol visual dan bunyi. Kanak-kanak disleksia akan menghadapi kesukaran dalam pembacaan, penulisan, memahami isi bacaan, mengeja dan mengira. Adalah dianggarkan sebanyak 4-8% pelajar sekolah mengalami masalah disleksia dan dikenal pasti bahawa lebih ramai pelajar lelaki mengalami disleksia berbanding perempuan.

Antara ciri-ciri kanak disleksia yang dapat dikenalpasti di peringkat prasekolah ialah lambat bertutur, mengalami kesukaran sebutan atau rima, sukar menulis nama sendiri, sukar mengenal bentuk atau warna dan sukar memberitahu cerita yang telah didengarinya. Manakala pada peringkat seterusnya iaitu di alam persekolahan, kanak-kanak Disleksia mungkin gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira, tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas, kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (Bacaan terbalik) contohnya 15 dengan 51, “was” menjadi “saw”, ‘b’ dengan ‘d’‘. Pada peringkat ini juga mereka mungkin mengalami kurang koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut, keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam’, ‘ hari ini’ , ‘esok’, kesukaran memahami, mengingati dan mengikuti arahan dan selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah

Dysgraphia

Dysgraphia merupakan satu masalah yang melibatkan neurologi yang dikategorikan sebagai masalah dalam penulisan. Masalah ini menyebabkan seseorang akan melakukan kesilapan semasa menulis. Bagi kanak-kanak, biasanya masalah ini dapat dikesan pada peringkat awal mereka diperkenalkan kepada penulisan. Mereka akan tersilap menulis, saiz hruf yang tidak sesuai atau tidak menepati ruang yang tersedia, atau salah ejaan. Masalah ini berlaku tidak dapat diketahui namun secara umunya ia berlaku akibat daripada kerosakan pada parietal lobe otak.


Dyspraxia

Dyspraxia merupakan sejenis masalah yang disebabkan gangguan neurological yang boleh menyebabkan gangguan kepada pergerakan dan koordinasi. Ia juga dikenali sebagai “motor learning disability”. Kanak-kanak yang mengalami dyspraxia menghadapi kesukaran untuk mengkoordinasi pergerakan dengan lancar. Selalunya mereka menghadapi kesukaran untuk mengkoordinasi pergerakan dengan lancar. Dyspraxia juga akan mengakibat kanak-kanak itu akan berhadapan dengan masalah bahasa dan kadangkalanya sukar dalam persepsi dan pemikiran. Namun demikian dyspraxia tidak akan mempengaruhi tahap kecemerlangan sesorang namun ia akan menyebabkan kesukaran dalam pembelajaran terutama kepada kanak-kanak.



Dyscalculia

Individu yang mengalami dyscalculia secara umumnya mempunyai tahap intelektual yang normal, namun mereka menghadapi masalah kepada proses pemikiran (kognitif) tertentu. Mereka menghadapi kesukaran kepada beberapa jenis pemikiran terutama sekali dalam mata pelajaran Matematik. (B Adler, 2001)

Menurut Gross-Tsur, Manor dan Shaley (UK Studies) 1996, 6.5% adalah dyscalculic. Manakala menurut Lewis, Hitch dan Walker 1994, 1.3% adalah dyscalculic manakala 2.3% adalah dyscalculic dan dyslexic – ini menunjukkan bahawa menurut kajiannya 3.6% daripada penduduk dunia mengalami dyscalculia.



Masalah pembelajaran lain

a) Gangguan auditori (Bermasalah dalam menerima maklumat melalui pendengaran dan memproses maklumat)

b) Persepsi visual (Bermasalah dalam menyalin, sukar menjawab soalan secara menghitamkan jawapan semasa peperiksaan.

c) Gangguan bahasa(Sukar untuk membezakan peristiwa lampau dan kini, sukar untuk memgingat sesuatu perkataan.

d) Dyssemia(Sukar membezakan ton suara, sukar memahami humor dan kritikan)

e) Memory(Sukar untuk mengingati maklumat)

f) Gangguan perhatian (Attention Deficit) – Sukar untuk menguruskan sesuatu, sukar untuk member tumpuan.



PUNCA-PUNCA KANAK BERMASALAH PEMBELAJARAN

Kebanyakan pakar tidak dapat mengenalpasti punca sebenar berlakunya masalah pembelajaran, tetapi mereka berpendapat bahawa ia adalah disebabkan gangguan system saraf pusat yang disebabkan pelbagai faktor seperti keturunan (genetik), masalah semasa kehamilan atau kelahiran dan insiden selepas kelahiran seperti kemalangan.


PROGRAM PENDIDIKAN

Di Malaysia Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran melibatkan masalah daripada pelbagai kategori. Oleh sebab tahap pencapaian pendidikan murid dalam kategori ini secara amnya amat rendah (Grolnick and Ryan, 1990), maka mereka perlu mengikuti program pendidikan khas bermasalah pembelajaran yang ditawarkan di sekolah-sekolah rendah dan menengah yang bercorak intergrasi dan inklusif. Sekolah intergrasi atau pendidikan separa Inklusif bermaksud murid berkeperluan khas belajar dalam bangunan atau kelas yang berlainan tetapi dalam kawasan sekolah yang sama dengan kanak-kanak normal. Manakala kelas inklusif ialah murid bermasalah pembelajaran belajar dalam kelas yang sama dengan kanak-kanak normal dan mengikuti kurikulum yang sesuai dengan kemampuan individu.

Jabatan Pendidikan Khas menggariskan bahawa murid bermasalah pembelajaran ini boleh mengikuti program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran sekiranya mereka dapat mengurus diri tanpa bergantung kepada orang lain dan disahkan oleh pakar klinikal sebagai megalami kecacatan sehingga mengganggu proses pembelajaran.

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan pendidikan Khas, murid yang dikenalpasti mengalami masalah pembelajaran boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian mereka dalam kebolehan kognitif, tingkah laku dan perkembangan social, penguasaan bahasa iaitu lisan atau pertuturan, keupayaan membaca, kemahiran perkembangan (developmental skill), dan kemahiran matematik. Walaupun murid bermasalah pembelajaran menghadapi masalah melibatkan domain kognitif, afektif, psikomotor dan sosioemosi, namun mereka masih berupaya untuk menerima pendidikan yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mereka secara menyeluruh. Mereka sekadar kurang bertindakbalas terhadap strategi pembelajaran mereka secara menyeluruh. Justeru itu, murid tersebut perlu dibekalkan dengan kurikulum khas yang lebih bersifat fleksibel, berfokus dan bersesuaian dengan keupayaan serta kebolehan mereka.

Kurikulum Kebangsaan yang disediakan untuk murid normal tidak dapat memenuhi keperluan murid bermasalah pembelajaran kerana tahap pencapaian pendidikan murid tersebut dianggap rendah. Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran menerusi proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat fleksibel, berfokus, berstruktur dan dirancang mengikut langkah demi langkah untuk membolehkan murid menguasai setiap peringkat kemhiran yang dipelajari. Dengan demikian, pembelajaran yang diperolehi di dalam bilik darjah dapat dimanafaatkan dalam kehidupan seharian.

Melalui proses pengajaran khas ini juga mampu melahirkan individu yang berdikari, berdisiplin dan bersikap positif, bermoral dan beretika, berkemahiran dan berketerampilan serta produktif dan seterusnya boleh menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Matlamat akhir kurukulum tersebut adalah untuk melahirkanindividu berkeperluan khas yang dapat menjalani kehidupan yang bermakna.

Namun demikian, bagi memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum tersebut memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat dengan Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran khususnya guru. Dalam hal ini guru pendidikan khas perlu menggunakan kebijaksanaan mengubahsuai kaedah dan pendekatan pengajaran, aktiviti pembelajaran serta bahan dan teknik yang sesuai dengan keupayaan murid yang dididik agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan bermakna. Kerjasama dan komitmen ibu bapa juga amat diperlukan bagi membantu keberkesanan pelaksanaan kurikulum ini.



Peranan Ibu Bapa

Berdasarkan kepada pada kajian yang menggunakan kumpulan pasangan ibu bapa anak istimewa, McGillicuddy-DeLisi (1992) mendapati ibu bapa kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempunyai konsep kendiri yang rendah dan bersedih kerana membesarkan anak yang kurang upaya. Daripada awal lagi sejak mengesyaki anak mereka bakal menghadapi masalah, ibu bapa mengalami rasa ketidakpastian. Mereka terpaksa memikirkan tentang keperluan perubatan, tahap kemampuan serta kemampuan penyesuaian psikologi dan sosial. Ibu bapa tidak pasti bagaimana cara menghilangkan keadaan ini. Biasanya perasaan ini tidak hilang walau lima ataupun sepuluh tahun akan datang.

Matlamat utama adalah memenuhi kehendak mereka. Ibu bapa adalah penyelaras kehendak utama dalam usaha mencapai sesuatu kehendak. Mereka mesti sensitif. Sensitiviti berupaya meramalkan kelemahan dan kebolehan kanak-kanak di samping dapat menentukan minat dan bakat kanak-kanak. (Taylor, Anselmo, Foreman, Schatschneider dan Angelopoulos, 2000). Ibu bapa sebagai pendorong Ada kanak-kanak istimewa mempunyai minat yang tertentu. Minat inilah yang perlu didorong oleh ibu bapa ke peringkat yang termampu oleh kanak-kanak itu. Minat ialah kualiti ataupun satu set kualiti pada individu yang menunjukkan takat yang mungkin dia dapat memperoleh, dengan latihan yang sesuai, pengetahuan, kemahiran ataupun gabungan pengetahuan, kefahaman, dan kemahiran seperti kebolehan memberi sumbangan kepada seni lukis ataupun muzik, kebolehan mekanik, kebolehan matematik, ataupun kebolehan membaca dan bertutur dalam bahasa asing. Keupayaan yang wujud seperti yang ditunjukkan oleh kanak-kanak pada peringkat mana pun perkembangan mereka dapat menentukan apa yang dijangka dapat dibuat oleh mereka pada masa depan. Kalau seseorang kanak-kanak menunjukkan bukti mempunyai darjah minat yang tinggi iaitu bakat dalam sesuatu bidang tertentu, maka sesuailah kalau dianggap latihan yang bertujuan khas untuk perkembangan bakat itu menghasilkan (tanpa sebarang halangan) pencapaian yang tinggi dan kejayaan yang berikutan dengannya. Akan tetapi, sesuatu minat, sama ada umum ataupun khas, dapat dianggap sebagai keadaan bersedia masa sekarang.

Ini menunjukkan bahawa kanak-kanak bermasalah pembelajaran juga boleh berjaya di sekolah dan hidup jika mendapat sokongan dan kaedah pembelajaran yang betul daripada ibu bapa dan keluarga. Antara kaedah lain yang boleh digunakan oleh ibu bapa dalam membantu anak-anak bermasalah pembelajaran ialah:

a) Berpendapat secara terbuka dan rasional mengenai masalah yang dialami.

b) Mengingatkannya selalu bahawa dia adalah bijak namun memerlukan kaedah pembelajaran yang berlainan daripada kanak-kanak normal.

c) Kenalpasti kekuatannya dan beri galakan dalam perkembangannya.

d) Bimbing mereka menggunakan kaedah yang boleh membantu mereka dalam pembelajaran.

e) Beri sokongan untuk berjaya.

f) Luangkan masa untuk membantu mereka menyiapkan kerja rumah.

g) Menjadi role model kepada mereka contohnya membaca buku atau surat khabar semasa mereka belajar.

h) Jangan terlalu memberi harapan yang tinggi kepada mereka, cukuplah dengan memberi harapan setakat yang mereka boleh capai.

i) Beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak sekolah.

j) Hargai keunikannya dan ciri-ciri istimewa yang ada pada mereka.

Kejayaan Disebalik Kesukaran

Secara umumnya kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah normal dan mempunyai tahap kecerdasan minda melebihi paras purata, namun mereka menghadapi kesukaran dalam pemprosesan maklumat atau lambat menerima pembelajaran. Namun demikian kanak-kanak ini boleh Berjaya sekiranya mereka mendapat bantuan lebih awal. Mereka perlu diberi bantuan dari segi perubatan dan pembelajaran secara seiringan. Banyak model yang boleh diberikan kepada kanak-kanak ini bagi menggalakkan mereka belajar dan terus belajar. Antara kejayaan yang dapat diketengahkan ialah seperti Pablo Picasso , Tom Cruise , Richard Branson, Leonard Da Vinci, Thomas Edison, Jay Leno, Whoopi Goldberg dan Lee Kuan Yew.



Mekanisme Dalam Pendidikan Individu Berkeperluan Khas

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Supiah Saad jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia bertajuk Konitmen dan Peranan Guru dalam Pelaksanaan Pendekatan Pendidikan Inklusif di Malaysia) mendapati bahawa masyarakat umum dan pihak yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak berkeperluan khas di negara ini mahu Kementerian Pelajaran Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dengan mengambil alih atau member sumbangan secara langsung dalam semua aspek pendidikan bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Dapatan kajian beliau telah diambil kira oleh Jabatan Pendidikan Khas dalam penggubalan perancangan strategic 10 tahun pendidikan khas.

Dasar pendidikan khas di Malaysia telah diperkukuhkan lagi dengan dasar “Pendidikan Wajib” dan “Pendidikan Untuk Semua” yang kini menjadi asas kepada pelaksanaan pendidikan khas di Malaysia. Dengan adanya Dasar Pendidikan Wajib 2002, pendidikan peringkat sekolah rendah untuk semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah wajib di negara ini. Ibu bapa yang gagal mendaftar anak dalam umur persekolahan peringkat rendah boleh didakwa. Dasar ini diperkukuhkan lagi oleh Artikel 8, Perlembagaan Malaysia mengenai ‘Disabled Person Act 2002’ serta komitmen Malaysia dalam deklarasi-deklarasi antarabangsa iaitu deklerasi Education for All (EFA) 2000 dan Biwako Millenium Framework 2002. Ini bermakna kerajaan bertanggungjawab menyediakan pendidikan bersesuaian mengikut keperluan untuk semua kanak-kanak termasuk golongan yang mempunyai kecacatan/ketidakupayaan. Senarai berikut menunjukkan program pendidikan bagi Kanak-kanak Berkeperluan Khas.



1 Deria: penglihatan atau atau pendengaran OKU: Murid Pendidikan Khas KPM: Sekolah Khas; Integrasi; Inklusif

3 Kognitif (ringan): Masalah Pembelajaran OKU: Murid Pendidikan Khas KPM: Integrasi; Inklusif

4 Kecacatan Pelbagai (Multiple) OKU: bukan Murid Pendidikan Khas JKM/NGO: Institusi/harian

5 Fizikal (Kognitif normal) OKU: bukan Murid Pendidikan Khas KPM: Inklusif

6 Emosi dan Tingkah laku (ringan/sederhana) i. OKU: Tersisip dalam kategori Masalah Pembelajaran jika keupayaan mental di bawah paras normal.

ii Bukan OKU: Jika keupayaan KPM: Integrasi (Masalah Pembelajaran) Inklusif (murid biasa)



KESIMPULAN

Secara umunya perkembangan kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempunyai perkembangan fizikal setara dengan perkembangan kanak-kanak normal yang sebaya. Oleh yang demikian, mengakibatkan ramai guru dan ibu bapa tidak menyedari masalah sebenar kanak-kanak ini. Akibatnya mereka dianggap malas atau degil atau bermasalah, malah ada yang dianggap biadab apabila mereka tidak dapat memenuhi kehendak norma bilik darjah/pembelajaran atau tatasusila masyarakat setempat/sekolah. Kegagalan murid-murid ini boleh dielakkan sekiranya guru atau ibu bapa sedar akan perkembangan mereka dan membantu untuk memberikan sokongan yang cukup bagi memastikan mereka berjaya mencapai cita-cita dan berjaya menjadi seorang yang boleh berdikari pada masa hadapan. (Coral Turkington and Joseph R. Harris, 2003)


RUJUKAN



1. Carol Turkington and Joseph R.Harris, Understanding Leraning Disabilities. New York: Checkmark Books, 2003.

2. K.A.razhiyah, Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?. Pahang: PTS Professional, 2006.

3. Mohd. Sharani Ahmad, Special Children. Selangor:Universiti Putra Malaysia, 2004.

Read more: http://mylivesignature.com/mls_wizard2_1.php?sid=54488-85-056393F1F3697DF81DF3C32E40623754#ixzz0gA7UjG4u







No comments: