Thursday, March 18, 2010

PENTAKSIRAN DAN CADANGAN LATIHAN

JENIS-JENIS PENAKSIRAN


Untuk mengenal pasti sama ada seorang pelajar itu bermasalah pembelajaran, penaksiran perlu dilakukan. Antara kaedah penaksiran yang digunakan ialah penaksiran formal, penaksiran dalam bilik darjah dan response to intervention (RTI).

5.1 Penaksiran Formal

5.1.1 Ujian Rujukan Norma

Ujian Rujukan Norma ialah ujian yang mengukur pencapaian seseorang individu untuk dibandingkan dengan pencapaian individu lain dalam sesuatu kumpulan. Ia merupakan suatu ujian yang digunakan untuk menentukan prestasi seseorang individu ke atas sesuatu tugasan supaya pencapaian individu tersebut boleh dibandingkan dengan pencapaian individu lain yang melakukan tugasan yang sama.

5.1.2 Ujian Rujukan Kriteria

Ujian Rujukan Kriteria adalah

ujian mengukur pencapaian individu dan dibandingkan dengan kriteria yang telah ditentukan. Contohnya, ujian memandu di mana pelajar perlu menunjukkan kecekapan yg telah ditetapkan sebelum dia diluluskan. Prestasi seseorang itu tidak akan dibandingkan dengan prestasi orang lain. URK ini boleh dibandingkan dengan satu kriteria yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

5.2 Penaksiran dalam Bilik Darjah

5.2.1 Pengukuran Berasaskan Kurikulum (CBM)

Istilah Pengukuran Berasaskan Kurikulum ( Curriculum Base Measurement) difahamkan secara umumnya sebagai penaksiran prestasi pelajar berasaskan kurikulum tempatan. Item yang digunakan dalam penaksiran diambil dari kurikulum sekolah.

CBM digunakan untuk membantu guru menentukan apa yang hendak diajar pada masa akan datang, memudahkan penilaian kemajuan pelajar di mana program penilaian berasaskan kurikulum berperanan untuk melihat kaedah dan bahan pengajaran yang digunakan adalah bersesuaian. Ia dikatakan sah dan ada kebolehpercayaan di mana ia dikaitkan dengan isi kandungan serta dikatakan ada kebolehpercayaan apabila kita mengulangi ujian ke atas pelajar yang sama. Namun begitu CBM ini juga berperanan meningkatkan tahap pencapaian pelajar kerana ia diuji berdasarkan kurikulum, berkesan untuk mengetahui apa yang hendak dilihat dan murid mengetahui apa yang hendak dipelajari dan apa yang telah dikuasai. Di samping itu juga berkesan untuk merekod kemajuan pelajar.

5.2.2 Portfolio

Portfolio merupakan satu folder atau fail yang mengandungi bahan-bahan kutipan dikumpulkan untuk sesuatu tempoh bagi menggambarkan atau menjelaskan atau menerangkan perkembangan kognitif bagi si penyedianya tentang sesuatu tugasan yang pernah diarahkan. . Ia merupakan satu koleksi produk iaitu sampel kerja kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam satu fail. Koleksi produk ini menunjukkan apa yang telah dilakukan oleh pelajar. Inferens juga boleh dilakukan ke atas pelajar dari segi kebolehan seseorang pelajar pada masa depan. Contoh-contoh produk yang boleh dikumpulkan ialah tulisan, lukisan, lembaran kerja dan sebagainya.

5.2.3 Pemerhatian

Bagi kanak-kanak yang dikenalpasti mempunyai masalah pembelajaran, pemerhatian akan dilaksanakan untuk mengetahui situasi sebenar kanak-kanak tersebut secara semula jadi. Ia dilakukan secara tidak disedari supaya kanak-kanak tidak berpura-pura di mana fokus pemerhatian adalah untuk mengetahui tahap kefungsian kanak-kanak secara semula jadi tanpa diganggu oleh faktor-faktor lain. Penilaian boleh dibuat semasa individu terlibat dalam aktiviti-aktiviti hariannya seperti bermain, bekerja dalam kumpulan dan penglibatannya dalam aktiviti secara berkumpulan dan sebagainya. Bentuk ini sukar diinterpretasikan kerana ia hanya merekodkan apa yang dilihat sahaja dan orang lain mungkin memberikan interpretasi yang sama atau berbeza.

5.4 Response To Intervention (RTI)

Response To Intervention (RTI) digunakan untuk mengenalpasti pelajar bermasalah pembelajaran bagi menentukan intervensi awal. Ini dapat dicapai melalui penilaian respon pelajar mencapai matlamat. Terdapat 3 peringkat model RTI:

1. Penyaringan pelajar berisiko (screening for at-risk students)

2. Memantau tanggapan/ respon kepada pengajaran (monitoring of responsiveness to instruction)

3. Penentuan arah tindakan (determination of the course of action)

6.0 CADANGAN LATIHAN PENDIDIKAN BAGI PELAJAR BERMASALAH PEMBELAJARAN

Pelajar bermasalah pembelajaran di dapati sukar menyusun maklumat, tidak cekap menggunakan pengetahuan sedia ada dan tidak dapat menggunakan strategi pembelajaran dengan berkesan. Terdapat 2 pendekatan dalam pengajaran pelajar bermasalah iaitu pengajaran secara langsung dan strategi pengajaran.

6.1 Pengajaran secara Langsung

Guru hendaklah mengajar secara langsung menurut urutan yang tersusun. Guru perlu menggunakan banyak contoh dan ilustrasi untuk menerangkan sesuatu konsep. Pengajaran hendaklah dibahagikan kepada langkah-langkah kecil dan disampaikan langkah demi langkah. Guru juga perlu sentiasa memberi maklum balas sama ada pelajar berjaya menguasai sesuatu butir maklumat. Aktiviti-aktiviti pembelajaran yang disusun hendaklah menarik dan melibatkan pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif.

6.2 Strategi Pengajaran

Pelajar bermasalah pembelajaran tidak menggunakan strategi pembelajaran yang berkesan. Strategi pembelajaran didefinisikan sebagai pendekatan yang digunakan oleh seseorang dalam menghadapi sesuatu tugas pembelajaran. Ia melibatkan individu itu mengetahui apa yang harus dilakukan, bagaimana hendak dilakukan dan dapat mengesan sejauh mana dia berjaya melakukan. Antara strategi pembelajaran yang perlu diajar ialah membuat nota, menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membantu kefahaman, strategi mendengar, penyelesaian masalah dan sebagainya.

7.0 Pilihan Penempatan Pendidikan

Penempatan pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran pada masa kini merupakan salah satu isu yang paling berkontroversi. Tempat di mana seseorang pelajar bermasalah pendidikan itu menerima pembelajaran sebenarnya akan memberi kesan kepada sikap, pencapaian dan perkembangan sosial mereka. Terdapat beberapa pilihan penempatan yang biasanya ditawarkan kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran, antaranya:

7.1 Bilik Darjah Biasa

Pelajar bermasalah pembelajaran dan pelajar biasa di tempatkan di dalam bilik darjah yang sama. Pendekatan ini memerlukan perancangan yang teliti, kesediaan guru dan sistem sokongan yang lengkap. Hanya penempatan pelajar secara fizikal di dalam bilik darjah biasa tidak cukup untuk memastikan peningkatan pencapaian akademik dan penerimaan sosial pelajar bermasalah pembelajaran. Guru pendidikan khas akan bekerjasama dengan guru biasa dalam pengendalian kelas. Guru pendidikan khas dan guru biasa akan berkongsi tanggungjawab untuk mengajar.

7.2 Guru Pendidikan Khas sebagai Penasihat

Guru pendidikan khas sebagai penasihat membantu guru biasa dengan kaedah mengajar pelajar bermasalah pembelajaran. Dia membantu dalam penyusunan persekitaran fizikal, menyediakan atau mengadaptasi rancangan pengajran dan bahan serta membina prosedur penilaian dan pengredan pelajar bermasalah pembelajaran. Dia juga mengumpul maklumat, membuat pemerhatian dan mempermudahkan perbincangan tentang pengajaran pelajar bermasalah pembelajaran. Pengajaran secara langsung dijalankan oleh guru biasa.

7.3 Bilik Sumber

Pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan di sekolah biasa akan pergi ke bilik sumber untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan bagi membantu mereka dalam pembelajaran. Contohnya, perkhidmatan penaksiran dan pengajaran pemulihan disediakan. Bilik sumber membolehkan pelajar bermasalah pembelajaran mendapat faedah daripada pengajaran yang spesifik, pada masa yang sama mengekalkan integrasi dengan kawan dan rakan sebaya di sekolah. Guru bilik sumber mestilah seorang yang mempunyai kecekapan yang tinggi dan dapat bekerjasama dengan guru biasa, membuat penaksiran pembelajaran dan tingkah laku, membina pengajaran individu serta bekerja secara efektif dengan ibu bapa dan keluarga. Program bilik sumber yang ditawarkan harus cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan tahap pembelajaran pelajar.

7.4 Bilik Darjah Berasingan

Dalam kelas berasingan, bilangan pelajar bermasalah pembelajaran adalah kecil (dicadangkan tidak melebihi 8 orang pelajar pada satu-satu masa). Pelajar dikumpulkan mengikut mereka yang mempunyai masalah pembelajaran sahajaatau dikumpulkan mengikut mereka yang terdiri daripada pelajar yang pelbagai jenis kategori ketidakupayaan. Biasanya, pelajar bermasalah pembelajaran, menghadapi gangguan emosi dan kerencatan mental ditempatkan dalam satu kelas. Kelas berasingan mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya ialah mereka dapat mewujudkan konsep kendiri yang lebih baik berbanding pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan dalam kelas biasa. Ini berlaku mungkin kerana persaingan di kelas biasa memerlukan beberapa kriteria yang tidak dapat dicapai oleh pelajar bermasalah pembelajaran. Sesetengah pelajar ini juga menunjukkan kemajuan yang lebih di kelas berasingan berbanding kelas biasa. Kelas berasingan menawarkan keadaan paling berkesan bagi pelajar bermasalah pembelajaran yang teruk dan serius yang memerlukan pengajaran yang lebih bertumpu.

8.0 KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam pembelajaran disebabkan oleh faktor psikologi dan faktor persekitaran. Pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi masalah dalam kognitif, akademik, sosial dan emosi serta tingkah laku.

Penaksiran pelajar bermasalah pembelajaran boleh lakukan melalui beberapa kaedah seperti RTI yang digunakan untuk mengenalpasti kewujudan masalah pembelajaran. Selain itu, penaksiran formal dan penaksiran tidak formal juga boleh digunakan. Terdapat beberapa penempatan yang ditawarkan serta kaedah pengajaran yang sesuai kepada pelajar bermasalah pembelajaran bagi memastikan pembelajaran mereka dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

No comments: